Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.
Assalamualaikum w.b.t,
Firman Allah yang bermaksud: "Serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al Hujurat, ayat 9)
Saya amat berbesar hati sekiranya Dato’ dapat melapangkan sedikit masa untuk mendengar suara dan keluhan mahasiswa yang akan saya bentangkan kepada dato’ melalui surat ini. Moga kesudian Dato’ membaca dan memberi maklumbalas kepada surat ini tanda prihatin Dato kepada mahasiswa. Semoga ini dapat merapatkan lagi ukhuwwah antara pemimpin Universiti dan juga kami, rakyat Mahasiswa.
Ayahanda Naib Canselor yang dirahmati Allah,
Di kesempatan ini, saya mewakili Pro Mahasiswa UTM mengucapkan setinggi tahniah kepada yang berbahagia Dato’ diatas perubahan positif yang begitu mendadak sepanjang kepimpinan Dato’ dalam memimpin Universiti Teknologi Malaysia untuk lebih maju kehadapan. Dengan gagasan budaya ilmu yang cuba dibawa oleh Dato’,sedikit sebanyak telah memberi kesan yang positif kepada suasana universiti walaupun ianya belum dilihat secara menyeluruh.
Namun, beberapa perkara yang saya cuba utarakan disini selaku wakil seluruh mahasiswa untuk memohon respon daripada Dato’ sendiri berkenaan pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Suara Mahasiswa ini di adukan kepada Dato’ kerana status Dato’ sebagai Naib Canselor dan pemimpin teratas dalam pentadbiran universiti di lihat dapat membantu mahasiswa dengan membuat keputusan dan kenyataan secara adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak sama ada kepada Pro Mahasiswa, Evolusi Mahasiswa ataupun calon bebas yang bakal bertanding dalam pilihanraya kampus nanti.
Merujuk kepada memorandum yang telah dihantar oleh pihak Pro Mahasiswa UTM kepada yang berbahagia Dato’, beberapa tuntutan yang telah kami gariskan. Salah satunya adalah melibatkan soal campur tangan dan keterlibatan “Pengetua Kolej” mahupun “Pentadbiran Universiti” dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai badan tertinggi yang bakal memimpin mahasiswa UTM.
Tetapi, beberapa siri pilihanraya yang lepas telah menunjukkan bahawa telah berlaku ketidak adilan dalam pilihanraya kampus khususnya berkenaan ugutan dan ancaman daripada pihak pengetua kepada mahasiswa. Politik kampus seperti ini dilihat tidak sihat malah akan menyekat hak dan kebebasan mahasiswa untuk memilih kepimpinan secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Ayahanda yang dihormati,
Melihat kepada situasi yang berlaku pada masa yang lepas dan pada hari ini, mahasiswa telah diugut untuk tidak mengundi, menyokong apatahlagi bertanding atas tiket Pro Mahasiswa malah mendapat ancaman untuk dibuang kolej walaupun aktif dalam JKM dan organisasi dalam kolej. Pelbagai aduan yang kami telah terima berkenaan keresahan mahasiswa untuk mengundi calon bukan pilihan pengetua. Oleh kerana itu, aduan itu terus diajukan kepada Dato' sendiri.
Begitu juga yang dilakukan terhadap blog Pro Mahasiswa UTM (www.promahasiswautm.blogspot.com) sebagai lidah rasmi untuk menyampaikan maklumat telah disekat oleh pihak pentadbiran universiti daripada dilayari oleh mahasiswa manakala blog Evolusi Mahasiswa masih dapat dilayari seperti biasa tanpa sebarang sekatan. Ini sekaligus menafikan hak mahasiswa untuk mendapat maklumat secara telus,adil dan bebas daripada kedua-dua pihak menjelang pilihanraya kampus. Maklumat ini penting agar mahasiswa dapat menilai kepimpinan kedua-dua pihak dan memilih atas dasar kesedaran mereka sendiri, bukan kerana pengaruh mana-mana pihak atau faktor paras rupa.
Ini telah menjadi persoalan kepada kami diperingkat mahasiswa. Apakah makna dan tujuan pilihanraya kalau perkara sebegini berlaku? Adakah ini yang dinamakan demokrasi kampus? Di mana hak mahasiswa untuk mengundi calon pilihan secara bebas? Dimana keadilan yang ditunjukkan oleh pihak universiti?.
Ayahanda Dato’ Naib Canselor yang bijaksana,
Justeru, Saya mewakili mahasiswa secara keseluruhannya menuntut agar Dato’ dapat memimpin universiti secara adil dan saksama dengan mengambil kira dan bertindak atas aduan ini.
Renungi firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya." (Surah al Nahl, ayat 90)
Rasulullah s.a.w bersabda: "Tujuh golongan yang Allah berikan lindungan kepada mereka pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan Allah; PEMERINTAH YANG ADIL, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua lelaki yang berkawan dengan penuh kasih sayang kerana Allah bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang ada kedudukan serta mempunyai harta lalu dia berkata: aku takut kepada Allah, lelaki yang memberi sedekah lalu disembunyi hingga tiada diketahui oleh tangan kirinya apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah."(Hadis Muttafaq'alaih)
Di samping itu ada beberapa hadis memberi amaran kepada pemimpin yang tidak adil serta tidak berbuat baik kepada golongan dipimpin. Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak seorangpun daripada hamba Allah diberi tanggungjawab memimpin, lalu dia mati pada hari dia dimatikan dalam keadaan melakukan penipuan terhadap rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga." (Hadis Muttafaq 'alaih)
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud:
"Barang siapa yang dilantik oleh Allah untuk menguruskan hal ehwal orang Islam tetapi dia tidak melaksanakan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada mereka serta tidak memenuhi keperluan dan hajat mereka, nescaya Allah tidak akan memberikan sesuatu kebaikan kepadanya serta tidak memenuhi keperluan dan hajatnya pada hari akhirat." (Hadis riwayat Abu Daud dan al Tirmizi)
Kita mengharapkan mahasiswa yang telah dibentuk sepanjang berada di UTM memperlihatkan keperibadian yang kita kehendaki. Kita mahu mereka ada sifat-sifat seorang pemimpin iaitu sekurang-kurangnya memperlihatkan sifat bertanggungjawab, amanah, syaja’ah, berani memperjuangkan hak mereka dan berani bersuara menentang ketidakadilan. Kualiti ini mungkin boleh kita lihat dengan mengkaji penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya kampus. Ini adalah kerana penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya kampus sekurang-kurangnya mencerminkan kesedaran mereka tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga kampus. Lantaran itu, kami diperingkat Pro Mahasiswa “memohon kenyataan balas” dari Dato’ berhubung perkara ini agar mahasiswa tidak takut untuk memilih calon pilihan mereka secara bebas. Akhir sekali, saya ingin memetik sepotong hadis buat renungan:
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya (apa yang dijaga); seorang pemimpin akan ditanya mengenai rakyatnya, seorang lelaki adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan akan ditanya mengenai jagaannya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan akan ditanya jagaannya, seorang khadam adalah penjaga kepada harta tuannya dan akan ditanya mengenai jagaannya, dan setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya." (Hadis Muttafaq 'alaih).
Sekian, Wallahua'lam
Mohd Amin Bin Mohd Hamami
Ketua Jentera Pro Mahasiswa UTM 2010
No.Tel : 013-7141139
Nota:
*Turut dilampirkan bersama surat ini rakaman yang diberikan kepada kami Pro Mahasiswa UTM oleh mahasiswa Kolej Rahman Putra untuk dinilai sendiri oleh Dato' . Download (disini) atau layari- http://www.4shared.com/file/195209381/3b16a99/Pengetua_KRP.html
sumber: blog rasmi Pro Mahasiswa UTM
0 comments:
Post a Comment