Misteri sejadah berdiri~

21 October 2009

Misteri sejadah berdiri

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my


ORANG ramai melihat 36 sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkot, Meranti, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS: Misteri 36 helai sejadah yang dikatakan ditemui dalam keadaan 'berdiri' di surau Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkot, Meranti di sini, semalam, menarik perhatian penduduk sekitar.

Kejadian yang mula disedari jam 10.40 pagi itu, dianggap aneh tetapi Kadi Jajahan, Anuar Alsadat Noor, mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat tafsiran sehingga boleh memesongkan akidah.

"Saya anggap ini perbuatan kanak-kanak nakal yang sengaja menyusun kedudukan semua sejadah dalam keadaan seperti sedang melakukan solat.


"Ini bukan perkara pelik," katanya yang bergegas ke sekolah itu, kira-kira jam 2.30 petang bersama kakitangan Pejabat Agama Pasir Mas bagi mengambil semua sejadah itu selepas menerima arahan Pejabat Mufti Kelantan. Anuar berkata, pihaknya terpaksa mengambil semua sejadah itu bagi mengelak kejadian berkenaan disalah tafsir umat Islam sehingga boleh menimbulkan khurafat.

Difahamkan, pada Ramadan lalu perkara sama turut berlaku di rumah seorang penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya berdiri sendiri.

Sementara itu, guru sekolah itu, Adnan Abdullah, berkata kejadian di surau itu disedari seorang murid Tahun Dua, Mohd Khairi Mat Yadin, 8, ketika berada dalam kelas pemulihan pembelajaran.



Beliau berkata, murid itu terpandang susunan sejadah terbabit dalam keadaan mencurigakan menerusi ruang tingkap surau itu dari kelasnya.

Kedudukan sejadah itu dikatakan seperti saf mengerjakan solat dengan semuanya membentuk bonjolan di bahagian tengah.

Sebanyak 16 helai sejadah bersusun di ruang solat lelaki, manakala 19 lagi di ruang solat perempuan, manakala satu di ruang imam di bahagian depan.

Adnan berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau bergegas meninjau keadaan dalam surau berkenaan.

"Saya terkejut apabila melihat keadaan susunan sejadah itu sebelum memaklumkan kepada Penolong Kanan sekolah itu, Maimon Hamzah, kerana Guru Besar, Mariam Omar, sedang menghadiri majlis rasmi di Pengkalan Chepa.

"Berikutan itu, kejadian ini dimaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas dan diarahkan supaya tidak mengganggu kedudukan semua sejadah terbabit sehingga sehingga ia dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Pasir Mas.

"Kira-kira setengah jam selepas penemuan sejadah ini, orang ramai mula masuk mengerumuni surau ini untuk melihat sendiri apa yang berlaku menyebabkan kami terpaksa memasang pita bagi menghalang mereka masuk ke surau," katanya.

Bagaimanapun, orang ramai mula beredar dari surau itu selepas mendapat arahan Pejabat Agama.


***apabila dah ramai yang tak guna sejadah untuk bersembahyang, maka sejadah yang kasihan pada manusia yang makin lalai solat. alangkah ruginya manusia jika mereka tidak mendapat apa2 rasa daripada amara ciptaan Allah ini.

0 comments: