Pulanglah Natrah...

10 July 2009

natrah

Ia kebetulan yang menyedihkan.

Sebulan yang lalu, saya berceramah di Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa’ mensyarahkan kitab Apa Erti Saya Menganut Islam dan sebahagian masa diperuntukkan untuk berbicara tentang Sheikh Fathi Yakan, penulis buku berkenaan.

Tiga hari selepas itu, beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Jun 2009.

Sebulan selepas itu, saya kembali ke al-Nidaa’ untuk melangsaikan kuliah terakhir di dalam siri syarahan kitab Apa Erti Saya Menganut Islam. Sejarah kemunculan gerakan Islam sedunia dipetik. Saya membahaskan sedikit tentang peranan yang dimainkan oleh Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmi di dalam tragedi 1950 di Singapura membabitkan Natrah atau Bertha Hertogh hingga membawa kepada penangkapan Burhanuddin al-Helmi dan dipenjarakan selama setahun.

Malam itu sebenarnya, Natrah pulang bertemu Allah.

Saya masih sugul dengan pemergian Sheikh Fathi Yakan. Masih terganggu fikiran dengan kematian mengejut Michael Jackson dan siri kejutan disambung pula dengan pemergian Natrah.

Sejarah Natrah boleh dibaca di mana-mana. Ada buku yang ditulis mengenainya. Ada artikel yang komprehensif di Wikipedia. Begitu juga dokumentari di Youtube dan di mana-mana. Bacalah, hayatilah, insafilah akan lipatan sejarah tragis negara kita di suatu masa itu.

Tetapi ada satu pengajaran besar yang jangan kita terlepas pandang mengenai tragedi Natrah.

riot

Rusuhan 1950 di Singapura

1950 menyaksikan 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera. Singapura dikenakan perintah berkurung selama dua hari. Temasek terbakar, sebagaimana rentungnya jiwa umat Islam Nusantara yang bangkit menentang usaha melari dan memurtadkan Natrah.

Itulah harga Islam di mata umat Islam tahun 1950.

Tanpa internet, tanpa sms, semangat itu merebak dengan cepat dan menular merentas kota dan desa, harga iman Natrah bukan sebarangan.

Biar pun umat Islam masih dijajah British, jiwa mereka merdeka untuk bangkit bersuara.

Di tahun 2009, tatkala Natrah kembali kepada Allah yang difasakhkan aqidah beliau dari-Nya itu, berita murtad bukan lagi berita yang menggemparkan. Usahkan mahu memandang dengan sebelah mata, kewajaran murtad pula mahu dipertahankan atas nama kebebasan beragama yang entah di mana asal usulnya.

Ketika umat Islam terbebas daripada penjajah British dan menjadi pemerintah di bumi sendiri, jiwa mereka yang pernah merdeka itu hakikatnya kembali terjajah terpenjara hingga tiada lagi suara yang membela.

Tiada lagi Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmi yang membakar semangat itu.

Tiada lagi Karim Ghani yang mengepalai kebangkitan di akar rumpun.

Tiada lagi Profesor Ahmad Ibrahim yang menjadi hakim membicarakan keadilan dan kebenaran.

Tiada lagi M.A. Majid yang membiayai perbicaraan mahkamah itu.

Sesungguhnya,

“Kita dipukul gelombang riddah, dan tiada lagi Abu Bakr untuk mendepaninya…” – Abu al-Hasan Ali al-Nadawi

PULANGLAH NATRAH

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


***hebat betul sensitiviti masyarakat Islam dahulu. sungguh berbeza dengan umat Islam sekarang. jika dilihat hari ini semakin ramai umat Islam yang murtad, namun masyarakat ambil tidak kisah sahaja. jika ada sedikit pula. sesungguhnya umat Islam kini diserang dari pelbagai sudut. Ya Allah bimbinglah kami ke jalanMu....

0 comments: